Thursday, July 22, 2010

PROGRAM MENTOR INOVASI BERASASKAN MIKRO PENGAWAL

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM MENTOR INOVASI BERASASKAN MIKRO PENGAWAL
(CRYSTaL- CReative YouthS Through innovative Learning)

Pada Selasa, 3 Ogos 2010 JAM 2.00 petang
Bertempat Di SMK Jalan 3, Bandar Baru Bangi

OBJEKTIF PROGRAM

Untuk memupuk budaya inovasi di kalangan generasi muda melalui pendedahan kepada teknologi cip mikropengawal (micro-controller).

Penglibatan pelajar-pelajar universiti dalam aktiviti kemasyarakatan ini akan melahirkan graduan yang prihatin terhadap masyarakat dan melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran yang akan membantu mereka di alam pekerjaan kelak.

Interaksi antara pelajar-pelajar sekolah dengan pelajar-pelajar universiti juga diharapkan dapat memberikan kesan yang positif kepada pelajar-pelajar sekolah yang akan melihat mentor ini sebagai role-model dan akan meningkatkan minat dan usaha mereka untuk cemerlang dalam akademik untuk menjejaki langkah mentor mereka.


PERLAKSANAAN PROGRAM

Aktiviti-aktiviti utama yang dijalankan dalam tempoh 6 bulan perlaksanaan program ini ialah:

a. Bengkel latihan untuk mentor-mentor

Mentor-mentor dipilih dari kalangan pelajar-pelajar tahun 2 dan 3 dari Fakulti Teknologi Sains Maklumat dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. Pelajar-pelajar ini sebelum ini telah mempelajari perkara-perkara asas yang diperlukan untuk membimbing pelajar-pelajar sekolah dalam program ini difakulti masing-masing. Tujuan bengkel ini ialah untuk memfokuskan kemahiran tambahan tertentu yang diperlukan dan menerangkan pendekatan yang akan diambil dalam membimbing pelajar-pelajar.

b. Bengkel latihan untuk guru-guru pembimbing

Bengkel ini diadakan bertujuan supaya guru-guru pembimbing dapat memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar mengenai program ini dalam tempoh antara pertemuan berkala antara pelajar-pelajar dengan mentor mereka dari UKM, dan supaya sekolah-sekolah yang terbabit dapat meneruskan aktiviti-aktiviti ini pada masa akan datang dengan keupayaan sendiri.

c. Bengkel latihan untuk pelajar-pelajar sekolah

Bengkel ini diadakan selama 1 minggu di UKM untuk memberikan pengetahuan asas mengenai pengunaan mikro-pengawal dan peranti-peranti yang berkaitan. Bengkel ini dijalankan dengan pendekatan untuk mewujudkan minat dan perasaan ingin tahu. Kaedah pengajaran juga dibuat untuk menggalakkan pelajar-pelajar untuk memikirkan dan mencabar kaedah-kaedah lazim dalam usaha untuk mengadakan satu produk atau proses baru yang lebih baik.

Bengkel ini diadakan di makmal-makmal UKM dan pelajar-pelajar tinggal di kolej kediaman universiti untuk mewujudkan keazaman pelajar-pelajar untuk cemerlang diperingkat sekolah untuk berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

d. Projek rekabentuk berinovatif

Berdasarkan kepada pengetahuan yang pelajar-pelajar perolehi dari bengkel latihan ini, pelajar-pelajar dengan bantuan mentor-mentor mereka akan diminta untuk memikirkan idea-idea projek yang kreatif untuk dibina. Prototaip yang akan dilaksanakan dalam tempoh 6 bulan ini mestilah boleh digunakan dalam keadaan sebenar dan akan mengunakan komponen-komponen sebenar yang terdapat di industri.

e. Pameran dan penyampaian hadiah

Pada akhir program ini, satu acara pameran akan dibuat untuk pelajar-pelajar mempamerkan hasil ciptaan mereka dan akan di adili untuk menentukan pemenang-pemenang dalam beberapa kategori.

SENARAI SEKOLAH YANG TERLIBAT

Untuk peringkat perintis ini, 3 sekolah berikut telah dipilih:

a. Sekolah Menegah Kebangsaan Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi
b. Sekolah Menegah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang
c. Sekolah Menengah Teknik, Kajang

Sekolah-sekolah ini dipilih berdasarkan kepada penilaian kemudahan yang sedia ada dan persedian sekolah-sekolah tersebut untuk melaksanakan program ini. Seramai 16 pelajar dari tingkatan 4 dari setiap sekolah terlibat dalam program ini.


PERANAN AGENSI YANG TERLIBAT

Program ini dilaksanakan dengan penglibatan kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Peranan UKM ialah untuk menyediakan modul-modul latihan, menjalankan latihan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah serta menyediakan mentor-mentor untuk membimbing pelajar-pelajar sepanjang tempoh program ini dijalankan. Beberapa orang pensyarah-pensyarah juga terlibat sebagai penasihat kepada program ini. Pensyarah-pensyarah ini juga terlibat dalam memberikan latihan kepada mentor-mentor dan membangunkan modul-modul latihan untuk program ini.

MTDC telah memberikan sumbangan kewangan untuk menampung kos aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam program ini. Selain dari memberikan sokongan kewangan, kakitangan MTDC juga terlibat secara langsung dalam perancangan dan perlaksanaan aktiviti-aktiviti program ini.

Kementerian Pelajaran Malaysia, terlibat dari peringkat awal apabila program ini mula dicadangkan untuk menyeleraskan koordinasi diantara pejabat pelajaran negeri, daerah dan pengurusan sekolah dengan UKM dan MTDC, dan juga dalam hal-hal penjadualan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan.