Monday, September 6, 2010

PROJEK MENTOR MIKROPENGAWAL UKM-MTDC

OBJEKTIF PROGRAM
Untuk memupuk budaya inovasi di kalangan generasi muda melalui pendedahan kepada teknologi cip mikropengawal (micro-controller).

Penglibatan pelajar-pelajar universiti dalam aktiviti kemasyarakatan ini akan melahirkan graduan yang prihatin terhadap masyarakat dan melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran yang akan membantu mereka di alam pekerjaan kelak.

Interaksi antara pelajar-pelajar sekolah dengan pelajar-pelajar universiti juga diharapkan dapat memberikan kesan yang positif kepada pelajar-pelajar sekolah yang akan melihat mentor ini sebagai role-model dan akan meningkatkan minat dan usaha mereka untuk cemerlang dalam akademik dan seterusnya menjejaki langkah mentor mereka.

SINOPSIS
Mikropengawal merupakan cip yang mudah untuk diprogramkan menggunakan komputer. Dengan menyambungkan cip ini kepada peralatan tertentu, ia boleh diprogramkan untuk melakukan pelbagai tugas secara automatik sama ada bagi tujuan permainan (fun-and-play) sehinggalah kepada aplikasi sebenar untuk industri. Apa yang boleh dihasilkan sebenarnya tidak ada batasan, hanya bergantung kepada kreativiti seseorang. Selain membina minda yang kreatif dan inovatif, antara faedah kepada pelajar sekolah melalui program ini ialah membuka peluang kepada mereka untuk menerokai teknologi yang tidak terdapat di bilik darjah serta mengelakkan mereka daripada terjebak ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Penglibatan pelajar-pelajar universiti sebagai mentor dalam program ini akan membantu usaha untuk melahirkan graduan yang prihatin terhadap masyarakat dan melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran yang akan membantu mereka di alam pekerjaan kelak.

Dengan kemahiran yang diperolehi oleh pelajar-pelajar ini setelah bermain dan belajar bagaimana untuk membina aturcara mikro-pengawal , daya imaginatif, kreatif dan sifat ingin tahu dan mencuba ini akan digunakan untuk mereka meninjau apa yang terdapat di sekitaran mereka, dan berfikir bagaimana untuk menambah-baikan sesuatu produk atau proses.


PERLAKSANAAN PROGRAM

Aktiviti-aktiviti utama yang dijalankan dalam tempoh 6 bulan perlaksanaan program ini ialah:

a. Bengkel latihan untuk mentor-mentor
Mentor-mentor dipilih dari kalangan pelajar-pelajar tahun 2 dan 3 dari Fakulti Teknologi Sains Maklumat dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. Pelajar-pelajar ini, sebelum ini telah mempelajari perkara-perkara asas yang diperlukan untuk membimbing pelajar-pelajar sekolah dalam program ini di fakulti masing-masing. Tujuan bengkel ini ialah untuk memfokuskan kemahiran tambahan tertentu yang diperlukan dan menerangkan pendekatan yang akan diambil dalam membimbing pelajar-pelajar.

b. Bengkel latihan untuk guru-guru pembimbing
Bengkel ini diadakan bertujuan supaya guru-guru pembimbing dapat memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar mengenai program ini dalam tempoh pertemuan berkala antara pelajar-pelajar dengan mentor mereka dari UKM, dan supaya sekolah-sekolah yang terbabit dapat meneruskan aktiviti-aktiviti ini pada masa akan datang dengan keupayaan sendiri.

c. Bengkel latihan untuk pelajar-pelajar sekolah
Bengkel ini diadakan selama 1 minggu di UKM untuk memberikan pengetahuan asas mengenai pengunaan mikropengawal dan peranti-peranti yang berkaitan. Bengkel ini dijalankan dengan pendekatan untuk mewujudkan minat dan perasaan ingin tahu. Kaedah pengajaran juga dibuat untuk menggalakkan pelajar-pelajar daripada memikirkan dan mencabar kaedah-kaedah lazim dalam usaha untuk mengadakan satu produk atau proses baru yang lebih baik.

Bengkel ini diadakan di makmal-makmal UKM dan pelajar-pelajar tinggal di kolej kediaman universiti untuk mewujudkan keazaman pelajar-pelajar sekolah, untuk cemerlang di peringkat sekolah dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

d. Projek rekabentuk berinovatif
Berdasarkan kepada pengetahuan yang pelajar-pelajar perolehi dari bengkel latihan ini, pelajar-pelajar dengan bantuan mentor-mentor mereka akan diminta untuk memikirkan idea-idea projek yang kreatif untuk dibina. Prototaip yang akan dilaksanakan dalam tempoh 6 bulan ini mestilah boleh digunakan dalam keadaan sebenar dan akan mengunakan komponen-komponen sebenar yang terdapat di industri.

e. Pameran dan penyampaian hadiah
Pada akhir program ini, satu acara pameran akan dibuat untuk pelajar-pelajar mempamerkan hasil ciptaan mereka dan akan diadili untuk menentukan pemenang-pemenang dalam beberapa kategori.

SENARAI SEKOLAH YANG TERLIBAT

Untuk peringkat perintis ini, 3 buah sekolah berikut telah dipilih:
a. Sekolah Menegah Kebangsaan Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi
b. Sekolah Menegah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang
c. Sekolah Menengah Teknik, Kajang

Sekolah-sekolah ini dipilih berdasarkan kepada penilaian kemudahan yang sedia ada dan persedian sekolah-sekolah tersebut untuk melaksanakan program ini. Seramai 16 pelajar dari tingkatan 4, dari setiap sekolah di atas, terlibat dalam program ini.

PERANAN AGENSI YANG TERLIBAT

Program ini dilaksanakan dengan penglibatan kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).

Kementerian Pelajaran Malaysia, terlibat dari peringkat awal apabila program ini mula dicadangkan untuk menyelaraskan koordinasi di antara Pejabat Pelajaran Negeri, Daerah dan Pengurusan Sekolah dengan UKM dan MTDC, dan juga dalam hal-hal penjadualan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan.

Peranan UKM ialah untuk menyediakan modul-modul latihan, menjalankan latihan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah serta menyediakan mentor-mentor untuk membimbing pelajar-pelajar sepanjang tempoh program ini dijalankan. Beberapa orang pensyarah juga terlibat sebagai penasihat kepada program ini. Pensyarah-pensyarah ini juga terlibat dalam memberikan latihan kepada mentor-mentor dan membangunkan modul-modul latihan untuk program ini.

MTDC telah memberikan sumbangan kewangan untuk menampung kos aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam program ini. Selain dari memberikan sokongan kewangan, kakitangan MTDC juga terlibat secara langsung dalam perancangan dan perlaksanaan aktiviti-aktiviti program ini.