Sunday, December 16, 2018

Briged Payung Terjun

SEJARAH

Peranan 10 Para ini pada mulanya adalah sebuah pasukan serangan negara pada masa berlakunya peperangan atau darurat. Penubuhan Briged Payung Terjun ini telah dicadangkan oleh badan penasihat pertahanan Malaysia pada akhir tahun 1970an sebagai salah satu daripada rancangan pemodenan bagi sistem ketenteraan Malaysia. Pada asalnya rancangan ini tidak mendapat sebarang sokongan daripada pihak kerajaan yang dianggap berpunca dengan kaitan terhadap formasi briged ini yang bakal menjadi kesangsian oleh negara jiran, khasnya Singapura.

Pada bulan November 1988, Malaysia tidak mampu menyahut permintaan untuk bantuan oleh Maldives semasa negara itu dicerobohi oleh organisasi pengganas upahan Tamil. Atas ketidakmampuan untuk memberi bantuan dengan segera, panglima angkatan tentera Malaysian telah mengemukakan penubuhan unit payung terjun dalam organisasi Tentera Darat Malaysia.


1988 – satu batalion infantri Tentera Darat Malaysia daripada Batalion ke-8 Rejimen Renjer Diraja telah mendapat latihan payung terjun dan peranan tradisinya sebagai infantri biasa telah ditukarkan kepada batalion payung terjun. Batalion ini menjadi pasukan pertama aturgerakcepat terbaru.
1990 – Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja telah menerima kelayakan dan menyertai pasukan aturgerakcepat.
10 Oktober, 1994 – Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) telah merasmikan penubuhan Briged Infantri ke-10 Malaysia sebagai Briged ke-10 Payung Terjun.

PERANAN

10 Briged Para mempunyai berbagai-bagai kemahiran sepertimana tarafnya sebagai sebuah pasukan elit Tentera Darat. Atas sebab itulah juga, 10 Briged Para diakui mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan mampu diaturgerakkan dalam masa yang singkat untuk bergerak ke atas mana-mana kawasan operasi sejajar dengan cogankata briged ini -Tindak Pantas.

Kepantasan unit elit 10 Briged Para ini secara tidak langsung telah memberi satu kelebihan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misinya bagi memastikan keamanan negara terus dikekalkan sehingga sekarang. Dari segi kebolehan, 10 Briged Para adalah pasukan elit payung terjun yang setanding dengan lain-lain pasukan payung terjun di luar negara, misalnya Delta Force Amerika Syarikat. 10 Briged Para sememangnya adalah sebuah pasukan elit yang mantap tetapi pada masa yang sama sentiasa mempunyai sikap merendah diri dan tidak gemar mendabik dada atas kebolehan yang ada. Semangat setia kawan (esprit-de-corp) menjadi teras utama pasukan ini dan juga boleh diumpamakan sebagai sebuah pasukan yang mengutamakan hubungan silaturahim antara setiap anggota dan pegawai-pegawai atasan.

IDENTITI

Anggota 10 Para memakai beret merun melambangkan entitinya sebagai pasukan elit. Beret Merun yang dipakai oleh pasukan elit ini juga dikenali sebagai Pegasus @ (APAC)=Asas Pasukan Aturgerak Cepat. Pegasus bermaksud kuda terbang iaitu seekor kuda yang mempunyai sayap dan banyak terdapat di dalam cerita mitos masyarakat barat, khasnya mitos masyarakat Greek. Kehebatan nama haiwan ini telah digunakan oleh pasukan Paratrooper British sewaktu mereka melaksanakan ujian pemilihan ke atas anggota tentera darat British sebelum mereka layak diterima sebagai anggota Paratrooper dan seterusnya layak memakai beret merun. Dalam formasi ini antara syarat untuk melayakkan pemakaian beret merun adalah lulus kursus asas payung terjun dan berjaya menamatkan kursus penyesuaian Beret Merun (Pegasus) .