Wednesday, September 16, 2020

Riwayat Hidup Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau

 Riwayat Hidup Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau


Salasilah


Darah yang mengalir di dalam batang tubuh Meor Abdul Rahman adalah darah Bugis yang diwarisi daripada Daing Kuning, seorang pendekar terbilang pada penghujung abad ke-18. Daing Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada tujuh beradik anak raja Bugis berasal dari Makasar, Sulawesi, yang sangat-sangat ditakuti dan dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau Melayu yang berhampiran, kerana kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Ketujuh-tujuh beradik ini, Daing Jalak, Daing Celak, Daing Merawak, Daing Mempawah, Daing Telani, Daing Pelangi dan Daing Kuning telah belayar meninggalkan tanah Bugis untuk mencari tapak penghidupan baru. Mereka telah menjelajah ke serata kepulauan Melayu bagi mencari kawasan penempatan yang sesuai menurut firasat masing-masing.


Dalam tahun 1813, anak-anak Raja Bugis ini telah mendarat di Kuala Larut. Tempat persinggahan mereka dikenali sebagai Pangkalan Alur atau Relur Tujuh(kini dikenali sebagai Ayer Kuning). Hanya Daing Kuning yang terus menetap di Relur Tujuh dan bertapa di situ(gua tempat pertapaan Daing Kuning masih lagi wujud dan terletak di Bukit Larut). Saudara-saudara Daing Kuning yang lain telah meneruskan pelayaran dan berpecah ke seluruh Tanah Melayu, mengikut firasat masing-masing. Daing Kuning terkenal dengan kemahirannya bermain senjata sundang lipas. Kedatangan orang-orang Bugis ke Tanah Melayu ini telah memperkuatkan struktur kesultanan Melayu. Melalui bantuan kuasa Bugis, ketuanan raja-raja Melayu telah dapat dinobatkan kembali.


Hasil perkongsian hidup Daing Kuning dengan seorang puteri Raja Pattani, beliau telah dikurniakan seorang putera yang kemudiannya dikenali dengan panggilan Penghulu Che’ Ngah Tambah(Daing Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di Taiping, Perak). Penghulu Che Ngah Tambah ialah orang yang membuka daerah Matang dan telah dilantik oleh Sultan Perak sebagai salah seorang Orang Besar Lapan.


Salasilah Pewaris Gayong


Penghulu Che’ Ngah Tambah pula telah mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Uda Mohd. Hashim. Uda Mohd.Hashim(seorang arkitek) kemudiannya mendirikan rumahtangga dengan Sharifah Aluyah binti Syed Zainal Al-Attas dan dikurniakan dua orang putera. Salah seorang puteranya, Meor Abdul Rahman dilahirkan pada 21 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden,Taiping.


Syed Zainal Al-Attas ialah seorang hulubalang di Pahang yang terkenal dengan semangat penentangan penjajah serta ilmu persilatan yang tinggi. Beliau adalah sahabat karib pahlawan Mat Kilau dan Dato’ Bahaman, dan pernah menjadi penghulu di Pekan, Pahang(di bawah pentadbiran Tok Gajah). 

 


Zaman Kanak-kanak


Sewaktu bonda beliau melahirkannya, ada benda yang seakan-akan cacing tetapi panjang(ular?)keluar mengiringi kelahirannya. Ayahanda beliau mengambil cacing tadi lalu menyimpannya di dalam tempurung kelapa. Kelahiran Meor Abdul Rahman disambut dengan hujan yang turun mencurah-curah. Pada malamnya, bonda beliau telah bermimpi diberitahu oleh suara ghaib supaya melepaskan cacing(ular?) tersebut ke laut melalui Teluk Kertang dekat Matang. Seminggu kemudian bonda beliau bermimpi lagi, kali ini suara ghaib menasihati bonda Meor Abdul Rahman agar jangan risaukan tentang perihal cacing tersebut. Cacing itu adalah kembar anakanda Meor Abdul Rahman. Ia sebenarnya adalah naga "di lautan sana bercula tujuh, di lautan sini bercula se(satu)".

"Kamu janganlah susahkan aku. Aku cuma mengiringkan kamu semasa melahirkan anak. Aku kembar dengan anak kamu. Akulah naga bercula tujuh. Di lautan sini aku bercula sa (satu). Aku kembaran dia..."


Mengikut kata bondanya juga, itu adalah tanda yang Meor Abdul Rahman akan menjadi seorang pendekar besar pada suatu masa kelak.


Semasa kecilnya, Meor Abdul Rahman memang seorang anak yang nakal dan tahan lasak. Kenakalan beliau ini menyebabkan beliau sering menjadi mangsa rotan ayahandanya. Ayahandanya memang seorang yang garang dan bengis. Kerana kenakalannya inilah menyebabkan beliau lebih menonjol daripada adik-beradiknya yang lain. Beliau juga lebih rapat dengan bondanya kerana bondanyalah yang sering mempertahankan tindakan Meor Abdul Rahman apabila ayahandanya ingin menghukum kenakalannya. Pernah suatu ketika, Meor Abdul Rahman telah melarikan diri kerana dikejar oleh ayahandanya Daing Uda Mohd.Hashim. Meor Abdul Rahman telah menyorok di dalam tong dram berisi air dan berpenutup. Dari dalam tong dram tersebut beliau telah memasang telinga mencuri-curi dengar perbualan di antara ayahanda dan bondanya. Setelah puas mencari Meor Abdul Rahman di serata kawasan rumahnya, Uda Mohd.Hashim lalu dimarahi oleh Sharifah Aluyah kerana bertindak terlalu garang terhadap Meor Abdul Rahman sehingga menyebabkan Meor Abdul Rahman "hilang" dari rumah. Uda Mohd.Hashim lalu berkata,


"Saya bukannya tidak sayangkan Man tu. Siapa yang tidak sayangkan anak? Cuma Man tu degil sedikit berbanding anak-anak yang lain. Sebab itulah saya terpaksa merotannya untuk mengajar(mendisiplinkan) dia..."


Sebaik sahaja mendengar penjelasan ayahandanya tersebut, Meor Abdul Rahman pun bingkas keluar dari tempat persembunyiannya di dalam tong air dan berlari mendapatkan ayahandanya.


"Man di sini ayah! Man di sini ayah!..." jerit Meor Abdul Rahman.


Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, sebaik sahaja kelibat Meor Abdul Rahman dilihat oleh Uda Mohd.Hashim, Uda Mohd.Hashim lalu merotan Meor Abdul Rahman, sebagai usaha untuk mendisiplinkan anakandanya tersebut.


Kenakalan Meor Abdul Rahman diperhatikan setiap masa oleh datuknya Engku Syed Zainal Al-Attas. (Meor Abdul Rahman bersekolah di Sekolah Melayu Taiping dan di English School Kamunting di Taiping, sehingga ke peringkat Junior Malay Class. Di sekolah menengah, Meor Abdul Rahman aktif dalam persatuan berpakaian seragam, iaitu pengakap. Beliau sering mengikuti jambori pengakap yang diadakan di negeri Perak. Selepas tamat Junior Malay Class, Meor Abdul Rahman kemudian menyambung persekolahannya di Government Trade School di Ipoh). Syed Zainal dapat melihat secara firasat bahawa suatu masa nanti Meor Abdul Rahman akan mewarisi ilmu kependekaran yang ada padanya.


Walaupun beliau dilahirkan di tengah-tengah keluarga berdarah pendekar, ini tidak bermakna beliau sudah mempunyai kekuatan luar biasa serta ilmu persilatan yang tinggi. Disebabkan "darah pendekar" yang diwarisinya itu beliau kerap menjadi mangsa buli rakan-rakannya di sekolah, yang sengaja mahu menguji tahap keilmuannya dalam dunia persilatan. Setiap hari beliau akan dibuli, diherdik, diugut dan kadangkala dibelasah kerana kawan-kawannya menyangka beliau kebal seperti datuknya yang terkenal sebagai pendekar terbilang.


Beliau pernah dibelasah oleh 7-8 orang rakan-rakannya. Walaupun beliau belum mempelajari silat lagi pada ketika itu, beliau sering menang dalam setiap perkelahian yang dicetuskan oleh rakan-rakannya tersebut. Walaupun demikian, kerana sering sahaja dibuli, Meor Abdul Rahman seolah-olah patah semangat untuk meneruskan persekolahannya akibat tindak tanduk rakan-rakannya itu. Beliau mengadu kepada bondanya, Sharifah Aluyah mengenai sikap rakan-rakannya itu serta niatnya untuk berhenti sekolah jika hasratnya untuk mempelajari silat tidak ditunaikan. Walaupun datuknya, Syed Zainal itu seorang pendekar terbilang, malah saban hari ramai yang datang berguru, namun Meor Abdul Rahman tidak pernah diberi peluang untuk sama-sama belajar. Beliau terpaksa menyorok di bawah rumah mengintai datuknya bercerita tentang silat kepada anak-anak muridnya. Ibunya bersetuju untuk menyampaikan permintaan Meor Abdul Rahman kepada datuknya. 

 


Berguru dengan Syed Zainal Al-Attas


Ketika umur Meor Abdul Rahman dua belas tahun barulah beliau berpeluang berguru dengan datuknya iaitu Syed Zainal yang ketika itu sudah menjangkau ke usia 100 tahun lebih.

Segala ilmu dan petua Silat Seni Gayong diperturunkan satu persatu oleh Syed Zainal Al-Attas. Hari berganti minggu, bulan berganti tahun. Silat Seni Gayong semakin sebati dalam diri Meor Abdul Rahman. Segala sepak terajang orang bersilat ditempuhi dengan hati yang tabah.


Meor Abdul Rahman belajar Silat Seni Gayong bersama-sama 40 orang rakannya di Kampung Pokok Assam, Taiping. Keluarga beliau berpindah ke Kampung Pokok Assam ketika usia beliau kira-kira sepuluh tahun.(Menurut Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman, kekandanya Meor Abdul Aziz tidak ikut sama mempelajari silat kerana beliau lebih gemarkan aktiviti bermotosikal - memiliki tiga buah motosikal).


Setelah tiga tahun berguru dengan Syed Zainal,kesemua rakan-rakannya kecuali beliau seorang telah dikhatamkan oleh Syed Zainal. Meor Abdul Rahman begitu kecewa dengan sikap datuknya yang tidak mengkhatamkan dirinya seperti rakan-rakannya yang lain. Beliau telah menjadi mangsa ejekan rakan-rakannya, sehingga digelar "buah yang tidak masak". Beliau tidak tahu sampai bilakah datuknya akan "menggantungnya secara tidak bertali". Beliau lantas mengadu kepada bondanya. Kerana rasa kasih terhadap anakandanya tersebut, Sharifah Aluyah lalu bersemuka dengan ayahandanya Syed Zainal dan bertanyakan ayahandanya itu mengapa Meor Abdul Rahman tidak dikhatamkan sebagaimana rakan-rakannya yang lain. Sharifah Aluyah sanggup menawarkan seekor kambing untuk disembelih sebagai syarat untuk Meor Abdul Rahman dikhatamkan. Walau bagaimanapun, permintaan Sharifah Aluyah tidak dapat dipenuhi oleh Syed Zainal. Menurut Syed Zainal, beliau tidak boleh mengkhatamkan cucunya tersebut kerana masanya belum tiba lagi. Apabila masanya tiba kelak, Meor Abdul Rahman pasti akan dikhatamkan walaupun bukan oleh beliau,datuknya. Menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh orang ghaib di suatu tempat yang terletak di sempadan Siam - Tanah Melayu. Syed Zainal menyuruh Sharifah Aluyah menasihatkan Meor Abdul Rahman supaya menunggu sahaja ketibaan masa pengkhataman tersebut.


Penjelasan bondanya tersebut sedikit-sebanyak telah melegakan hati Meor Abdul Rahman, namun dia terus menanti-nanti masa yang disebutkan oleh datuknya itu. Ketika usianya sembilan belas tahun, beliau sudah pun mahir dalam segala aspek ilmu persilatan dan adat istiadat Silat Seni Gayong ini. Sebagai seorang anak muda yang sedang naik, Meor Abdul Rahman sering sahaja terlibat dalam peristiwa beradu tenaga dan sentiasa pula dapat menewaskan lawannya tersebut.

  

 


Saat-saat Pengkhataman


Dalam tahun 1933, Meor Abdul Rahman pergi ke Kuala Nerang menziarahi kekandanya Hendon dan kekanda iparnya, Zainal Abidin. Pada awalnya, Meor Abdul Rahman merasakan dirinya seperti orang asing setibanya di pekan Kuala Nerang, Kedah. Pemergiannya ke pekan itu tidak mempunyai maksud lain kecuali menemui kekandanya Hendon dan kekanda iparnya, Zainal Abidin(ketika itu menjadi Ketua Polis/OCPD Daerah Kuala Nerang). Meor Abdul Rahman tidak ada teman untuk berbicara atau bergurau senda kecuali kebosanan yang kian menghimpit jiwanya. Pelbagai cara untuk lari dari kebosanan itu sering bermain-main di kotak fikirannya. Namun segalanya gagal untuk menutup kebosanan yang semakin memuncak itu.

Banyak masa yang terbuang. Jadilah Meor Abdul Rahman sebagai penunggu setia memerhati gelagat manusia yang keluar masuk untuk berurusan di pekan Kuala Nerang.


Walaupun demikian, sikap Meor Abdul Rahman yang peramah dan petah berbicara menyebabkan beliau mudah mendapat kenalan. Beliau merasakan pekan Rabu yang diadakan sekali seminggu di pekan Kuala Nerang merupakan detik paling menyeronokkan.


Di situ beliau dapat berkenalan bukan sahaja dengan orang-orang tempatan malah orang-orang Siam yang turut berurus niaga di pekan Rabu itu.


Pada suatu malam, ketika beliau berada di rumah abang iparnya, beliau telah terdengar bunyi seperti paluan gendang. Beliau bertanyakan kekanda iparnya bunyi apakah itu? Kekanda iparnya memberitahu bunyi tersebut adalah bunyi gendang silat yang dipalu daripada gelanggang silat berdekatan. Kekanda iparnya yang menyedari tentang minat Meor Abdul Rahman dengan silat telah mengizinkan Meor Abdul Rahman pergi melihat-lihat dari mana datangnya bunyi paluan gendang silat tersebut. Rupa-rupanya bunyi paluan gendang silat tersebut datangnya dari sebuah gelanggang silat, tidak jauh dari rumah Zainal Abidin.


Setelah merisik-risik, Meor Abdul Rahman difahamkan bahawa guru gelanggang itu ialah seorang berketurunan Minangkabau dan bekerja sebagai penjahit topi. Nama guru tersebut ialah Sudin. Setelah mengetahui tentang Sudin, beliau menjadi semakin berminat untuk mengetahui siapakah sebenarnya Sudin itu. Setinggi manakah ilmu kependekaran yang dimilikinya? Bagaimanakah cara untuk mencungkil rahsianya?


Meor Abdul Rahman mengambil keputusan berjumpa dengan Sudin. Bersama-sama dengan rakannya Osman, beliau telah mengunjungi gelanggang Sudin. Sudin yang terlihat kedatangan Meor Abdul Rahman ke gelanggang silatnya segera menyambut kedatangan Meor Abdul Rahman sambil bertanya sama ada Meor Abdul Rahman berminat untuk belajar silat dengannya. Meor Abdul Rahman pun menyampaikan hasratnya ingin belajar silat dengan Sudin. Permintaannya itu ditunaikan dan Sudin meminta pengeras sebanyak $3.25 serta seekor ayam apabila khatam.


Walau bagaimanapun, Sudin tidak turun ke gelanggang sepertimana yang disangka oleh Meor Abdul Rahman. Orang kanannya iaitu Ali sahaja yang turun dengan maksud mengajar Meor Abdul Rahman.Mereka berlatih seperti orang berkelahi. Meor Abdul Rahman telah menggunakan pengetahuannya dalam Silat Seni Gayong, hingga menyebabkan Ali tewas. Ali telah mengadu hal tersebut kepada Sudin.


"Dia ni pendekar...kami sepak 3-4 orang tak boleh jatuh..." adu Ali kepada Sudin.


"Betul ke? Biar aku cuba pula..." tanya Sudin.


Mengetahui rahsia Meor Abdul Rahman, Sudin berhajat untuk bersemuka dengan Meor Abdul Rahman dan ingin menguji setinggi mana ilmu silat yang ada pada Meor Abdul Rahman. Oleh kerana keadaan gelanggang yang sempit, Meor Abdul Rahman mengambil sikap bertahan dahulu. Setiap pukulan Sudin sekadar dielak sahaja.Apabila dirasakan Sudin bersungguh-sungguh mahu mengalahkannya, maka Meor Abdul Rahman pun menggunakan kepakarannya dalam Silat Seni Gayong sehingga menyebabkan tunggang-langgang Sudin dikerjakannya. Sebaik melihat kejadian tersebut, anak-anak murid Sudin pun habis bertempiaran lari - lintang pukang menyelamatkan diri. Ketika Meor Abdul Rahman ingin menghentak Sudin yang tertiarap dengan tumit, anak-anak muridnya telah menjerit untuk meleraikan pergaduhan tersebut.


"Sudah! Sudah! Jangan pukul lagi. Kamu ni pendekar. Ini bukan tempat kamu untuk belajar. Kami punya pelajaran tak sampai macam kamu..."


Sudin lalu memulangkan semula wang pengeras Meor Abdul Rahman tetapi ditolak dengan baik oleh Meor Abdul Rahman. Sudin lalu bertanya kepada Meor Abdul Rahman mengapa beliau masih ingin berguru dengannya sedangkan beliau memiliki ilmu persilatan yang cukup tinggi. Meor Abdul Rahman mengatakan bahawa menurut pesanan Syed Zainal, datuknya, kalau beliau kalah dalam pertarungan, beliau bolehlah terus belajar silat daripada guru yang mengalahkannya. Tetapi jika beliau menang, beliau tidak perlu belajar lagi kerana beliau akan dikhatamkan oleh orang ghaib. Meor Abdul Rahman sebenarnya mencari mana-mana guru yang dapat mengkhatamkannya.


Meor Abdul Rahman semakin serasi dengan corak kehidupan di pekan Kuala Nerang. Walaupun tidak seperti di Taiping, beliau merasakan pemergiannya ke pekan itu memiliki satu hikmah besar dalam meneruskan cita-citanya memburu "orang ghaib" seperti yang diceritakan oleh datuknya.


Di pekan Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman telah berkenalan dengan seorang perempuan tua berpakaian lusuh, yang menjual burung serindit. Apabila mengetahui perempuan tua tersebut berasal dari Menam, yang terletak dekat sempadan Siam, Meor Abdul Rahman mula mencari jalan bagaimana beliau boleh mengikut perempuan tua tersebut balik ke Menam. Secara senyap-senyap, tanpa pengetahuan kekandanya Hendon dan abang iparnya, Zainal Abidin, Meor Abdul Rahman dengan berbekalkan raifal dan sepucuk pistol milik abang iparnya, dan ditemani oleh Mata-mata Bakar bin Osman telah mengikuti perempuan tua yang dikenali dengan nama Tok Mek Jah itu pulang ke Menam.


Jarak perjalanan antara Menam dengan pekan Kuala Nerang adalah sangat jauh. Tidak ada sebarang pengangkutan kecuali berjalan kaki selama beberapa hari. Dari Kuala Nerang, mereka menempuh Padang Terap sebelum berhenti di Padang Sanai. Dari Padang Sanai mereka meneruskan perjalanan ke Kuak. Di Kuak, Meor Abdul Rahman menumpang di rumah ketua kampungnya iaitu Lenchon.


Selama dua hari Meor Abdul Rahman berada di Kuak. Makan minumnya diuruskan oleh Lenchon. Walaupun beliau sudah mula mempunyai ramai kenalan, namun selok-belok kehidupan di perkampungan Siam itu dirasakan masih asing. Suatu ketika, kerana sudah tidak tahan untuk membuang air besar(setelah ditahan selama dua hari), Meor Abdul Rahman pun meminta izin kepada Lenchon untuk pergi ke sungai bagi melepaskan hajatnya itu. Ketika beliau berada di atas sebatang titi untuk membuang air besar, tiba-tiba meluru berpuluh-puluh ekor babi hutan ke arah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman telah disondol hingga terjatuh ke dalam sungai. Selepas memakan najis-najis yang terdapat di situ, babi-babi hutan tersebut pun melarikan diri ke dalam hutan.


Perjalanan Meor Abdul Rahman masih tidak berpenghujung. Cerita-cerita menarik tentang kehidupan di Menam semakin menyemarakkan minatnya untuk ke sana. Baginya, jauh perjalanan luas pandangan. Walaupun beliau sudah merasakan tentang azab dan sengsaranya ketika menempuhi perjalanan ke Kuak dari Padang Sanai dahulu, namun kini beliau bertekad untuk ke Menam pula.


Pertemuannya dengan Tok Choh di Kuak semakin membakar semangatnya untuk meneruskan perjalanan ke Menam. Empat hari empat malam berjalan kaki barulah sampai ke Menam. Untuk selama empat hari di Menam, Meor Abdul Rahman telah menjadi anak angkat kepada keluarga Tok Choh dan menginap di rumah Tok Mek Jah. Dinding rumah penduduk Menam termasuk dinding rumah Tok Mek Jah diperbuat daripada kulit-kulit binatang. Sewaktu di Menam, Meor Abdul Rahman bersama-sama dengan Bakar sering menghabiskan masa mereka dengan keluar memikat burung serindit kerana harganya ketika itu sangat mahal(seekor burung serindit boleh mencapai harga di antara $3-$5 seekor).


Setelah empat hari di Menam, Meor Abdul Rahman meminta diri untuk pulang ke Kuala Nerang untuk menemui abang iparnya Zainal Abidin.


Selepas beberapa hari di Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman mengambil keputusan untuk pulang ke Taiping bagi menemui keluarganya. Beliau telah menceritakan segala pengalaman yang dilalui beliau kepada kekandanya Meor Abdul Aziz. Meor Abdul Aziz juga tertarik untuk ke sana.


Tanpa pengetahuan sesiapa termasuk abang iparnya Zainal Abidin di Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman dan abangnya Meor Abdul Aziz telah pergi ke Menam. Kedatangan mereka ke Menam semula telah mengejutkan Tok Choh dan Tok Mek Jah. Di Menam mereka menghabiskan kebanyakan masa dengan keluar berburu binatang. Meor Abdul Rahman pernah bertanyakan kepada Tok Mek Jah berkenaan sebuah bukit yang terletak di dalam hutan Menam. Menurut Tok Mek Jah, tempat tersebut bernama Lam Goh. Meor Abdul Rahman bertanyakan Tok Mek Jah sama ada beliau boleh pergi ke kawasan bukit tersebut. Menurut Tok Mek Jah, kawasan bukit itu agak "keras" dan Tok Mek Jah keberatan untuk melepaskan Meor Abdul Rahman ke sana.


"Kamu tak boleh pergi ke sana. Di situ tempat kawalan pendekar. Kalau nak pergi juga, aku tak boleh hantar..."jelas Tok Mek Jah. 

 


Bersua Hang Tuah di Batu Hitam


Ketika keluar berburu bersama-sama dengan enam orang rakannya di dalam hutan belantara di Menam(di sempadan antara Siam dan Tanah Melayu), sekonyong-konyong dengan takdir Tuhan hujan ribut telah turun disertai dengan kilat petir sabung-menyabung. Serentak dengan itu kawan-kawan beliau yang seramai enam orang tadi telah terpisah dengannya dan tidak kelihatan lagi. Keadaan itu berlaku hingga hampir ke tengah hari. Setelah keadaan pulih seperti sediakala, Meor Abdul Rahman menyedari bahawa dirinya tinggal bersendirian sahaja di hutan belantara itu. Beliau lalu meneruskan perjalanannya dengan merayau-rayau tanpa mengetahui arah yang hendak dituju, sehinggalah ke petang hari. Dalam keadaan diri yang sangat letih serta kebingungan, beliau mengambil keputusan untuk berehat lalu terlelap di atas suatu batu hampar berwarna hitam selebar kira-kira satu rantai.


Dalam keadaan antara tidur dan jaga, tiba-tiba muncul bayang-bayang lembaga seorang manusia yang berpakaian persis seorang hulubalang Melayu zaman dahulu, dengan dipinggangnya tersisip sebilah keris. Lembaga tersebut lalu berkata,


"Kamu janganlah berasa bimbang dan takut. Kamu akan kami penuhkan lagi diri kamu dengan ilmu-ilmu pertahanan dalam Ilmu Kepahlawanan."


Dalam keadaan diri antara sedar dan tidak, Meor Abdul Rahman pun diajar dengan berbagai ilmu kependekaran zahir dan batin. Hang Tuah telah mencurahkan segala rahsia ilmu Silat Seni Gayong dan mempertahankan diri kepada beliau. Selepas beliau melalui pelbagai ujian dan cubaan, beliau telah dibawa ke sebatang anak sungai yang berdekatan dan dimandikan dengan tujuan mengkhatamkannya. Di sanalah Meor Abdul Rahman diamanahkan supaya ilmu yang telah dipelajarinya (Seni Gayong), diperkembangkan dengan seluas-luasnya di dalam negera ini dengan mengikut adat-istiadatnya yang tertentu. Pada saat-saat itu juga, lembaga itu memperkenalkan dirinya dengan mengatakan bahawa beliau ialah Datuk Laksamana Hang Tuah.


"Akulah Laksamana Hang Tuah, hulubalang Raja Melaka. Aku berkhalwat di sini. Aku penjaga di sini."


Hang Tuah akhirnya meminta Meor Abdul Rahman mengangakan mulut lalu, diludahkannya ke dalam mulut Meor Abdul Rahman, sebagai tanda sempurnalah sudah pengkhataman beliau.


Hang Tuah juga mendakwa bahawa Meor Abdul Rahman adalah orang yang paling gagah dan tiada orang lain yang dapat menewaskannya selagi ia patuh kepada pantang-larang tertentu.


"Kamu tidak akan dapat dikalahkan oleh sesiapapun asalkan kamu tidak derhaka kepada kedua orang tua dan kamu hendaklah menghormati mereka."


Hang Tuah telah mengarahkan Meor Abdul Rahman menghadap sultan yang memerintah negerinya(Perak) ketika itu untuk menyembahkan taat setia serta mengarahkan beliau meninggalkan tempat itu dengan segera menuju ke arah matahari naik.


Setelah tersedar daripada tidurnya, Meor Abdul Rahman merasakan terdapat suatu kelainan pada dirinya; beliau seolah-olah telah diresapi oleh kegagahan yang amat luar biasa.


VERSI KEDUA


Ketika Meor Abdul Rahman sedang duduk berzikir di atas sebuah batu hitam, tiba-tiba sekonyong-konyong muncul lima lembaga manusia yang lengkap berpakaian hulubalang zaman dahulu sambil masing-masing bersenjatakan sebilah keris. Salah satu daripada lembaga tersebut memperkenalkan dirinya sebagai "Datuk Laksamana Hang Tuah", hulubalang Raja Melaka yang termasyhur pada zaman dahulu. Hang Tuah telah berkata,


"Sekarang tibalah masanya untuk kamu dikhatamkan..."


Hang Tuah kemudian telah mengarahkan keempat-empat lembaga yang mengiringinya supaya menyerang Meor Abdul Rahman secara serentak. Meor Abdul Rahman telah berjuang bersungguh-sungguh menentang serangan ramai tersebut, biar pun ketika itu diri beliau tidak bersenjata langsung. Serangan yang datang dari pelbagai arah tersebut dihadapinya dengan gagah, dan berjaya dipatahkan satu demi satu. Akhirnya, keempat-empat lembaga tersebut berjaya ditewaskan oleh Meor Abdul Rahman, dan Meor Abdul Rahman berjaya menendang dan merampas satu daripada keris yang digunakan oleh lembaga-lembaga yang menyerangnya. Keris yang berada di dalam genggaman Meor Abdul Rahman khabarnya adalah keris Pendawa Lima yang menjadi miliknya sekarang dan keempat-empat lembaga tersebut dipercayai sebagai "Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu". Hang Tuah kemudian meminta agar perlawanan diberhentikan, lalu menyuruh Meor Abdul Rahman mengangakan mulut. Hang Tuah kemudian meludah ke dalam mulut Meor Abdul Rahman sambil mengamanahkan ilmu silat yang telah dipelajarinya(Seni Gayong) diajar kepada keseluruhan insan dengan mengikut adat istiadat yang sejati, pada masa-masa yang tertentu. Hang Tuah juga meminta Meor Abdul Rahman menghadap raja yang memerintah negerinya untuk menyembahkan taat setia dan berbakti kepada sultan sebagaimana Hang Tuah berbakti kepada Raja Melaka. Hang Tuah juga mendakwa bahawa Meor Abdul Rahman adalah orang yang paling gagah dan tiada seorang pun yang dapat menewaskannya selagi beliau patuh kepada syarat-syarat yang tertentu. Hang Tuah kemudian menyuruh Meor Abdul Rahman meninggalkan tempat tersebut menuju ke arah matahari naik.


Selepas peristiwa pertemuannya dengan Hang Tuah di batu hitam, bertempat di suatu kawasan terpencil di sempadan Malaysia-Thai, Meor Abdul Rahman mendapati dirinya beroleh suatu kekuatan yang amat luar biasa. Misi pengembaraannya untuk mencari "orang ghaib" sepertimana yang pernah disebut oleh nendanya Syed Zainal sudah pun berakhir. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman telah berjumpa dengan gelanggang tomoi. Meor Abdul Rahman lalu bertanya kepada orang-orang Siam di situ,


"Apa nama permainan ni?"


"Kamu boleh main tomoi?" tanya orang-orang Siam di situ.


"Silat saya boleh. Tomoi saya tak tahu..." jawab Meor Abdul Rahman.


"Sama juga. Orang Siam panggil Tomoi, orang Melayu panggil silat. Hang kalau nak cuba, hang cubalah. Tapi kalau kena tendang patah gigi, patah tangan, hang jangan minta apa-apa!" kata orang Siam di situ.


Meor Abdul Rahman pun masuk ke gelanggang Tomoi dan bertarung dengan salah seorang jaguh tomoi tempatan. Dalam perlawanan tersebut, Meor Abdul Rahman telah menggunakan kepandaiannya dalam Silat Seni Gayong, sehingga menyebabkan juara tomoi tersebut tunggang-langgang dikerjakan oleh Meor Abdul Rahman.


"Hang ni pendekar besar. Aku tak boleh lawan hang. Hang gagah betul. Hang ni orang pendekar." kata juara tomoi tersebut sambil meminta perlawanan tersebut dihentikan.


Kini Meor Abdul Rahman berdepan pula dengan tugas lebih mencabar iaitu menghadap raja yang memerintah di negerinya (Perak) sebagai memenuhi amanat Tuah.


Tanpa membocorkan rahsia pertemuannya dengan Hang Tuah di batu hitam itu, akhirnya Meor Abdul Rahman bergegas pulang ke Taiping. Sebelum itu beliau singgah sebentar di rumah kekandanya di Kuala Nerang. Beliau tetap merahsiakan apa yang telah dialaminya daripada pengetahuan kedua-dua ibu bapanya. Sebagai mematuhi amanat di dalam mimpinya, beliau telah meminta izin daripada bondanya Sharifah Aluyah untuk menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika itu iaitu Almarhum Sultan Alang Iskandar. Sharifah Aluyah menurut ceritanya pernah dipinang oleh Sultan Alang Iskandar suatu ketika dahulu.


Beliau ditemani beberapa orang rakannya (yang menjadi pegawai kerajaan) berbasikal beramai-ramai menuju ke istana. Ketika tiba di istana, Meor Abdul Rahman telah diberitahu bahawa Sultan Alang Iskandar telah berangkat ke Manong menghadiri suatu majlis keramaian. Meor Abdul Rahman dan rakan-rakannya pun bergegas ke Manong. 

 


Panglima Sendo Perak


Untuk menghadap sultan bukannya tugas yang mudah. Beberapa kali Meor Abdul Rahman dihalang oleh Datuk Seri Nara Diraja. Pada ketika itu baginda sultan tengah sibuk kerana sedang bermain mahjong. Setelah puas didesak akhirnya Datuk Seri Nara Diraja membenarkan Meor Abdul Rahman bertemu dengan Sultan,

"Kamu nak jumpa, kamu pergilah jumpa. Tapi kalau kamu kena sebat, itu kamu punya pasal..."kata Datuk Seri Nara Diraja mengingatkan Meor Abdul Rahman tentang baginda Sultan yang terkenal bengis dan garang. Lalu dijawab oleh Meor Abdul Rahman,


"Kena sebat pun tak apa..."


"Kamu nak apa?" titah Sultan Alang Iskandar sebaik sahaja Meor Abdul Rahman menghadap.


"Tuanku, patiklah orang yang paling gagah sekali di negeri tuanku." sembah Meor Abdul Rahman kepada baginda Sultan.


"Hah! Hah! Apa kamu kata? Kamu nak melawak dengan aku ya? Kamu tahu aku siapa? Kamu nak kena sebat?" Baginda Sultan kembali bertitah sebaik sahaja mendengar kata-kata Meor Abdul Rahman, yang dirasakan seperti hendak mempersendakan baginda.


"Tahu tuanku. Tuanku Raja Perak, raja patik. Tapi kalau tuanku tak percaya, patik boleh buktikan." ujar Meor Abdul Rahman pula.


"Pergi angkat Puteh Lawak!" titah Sultan.


Di hadapan Sultan, beliau telah menunjukkan kegagahan beliau dengan mengangkat seorang yang berbadan besar(Puteh Lawak) dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Puteh Lawak telah dijulang dan diputar-putarkan sebelum dicampak.


"Megah sungguh kamu ni." titah baginda Sultan selepas menyaksikan peristiwa tersebut.


Selepas peristiwa itu, baginda Sultan telah memerintahkan Meor Abdul Rahman agar menghadap baginda sekali lagi iaitu bertempat di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Di sana Meor Abdul Rahman telah menunjukkan kebolehannya membengkokkan paku sepanjang enam inci, membengkokkan besi dengan leher, berlawan tarik tali dengan 50 orang lelaki(25 di kanan, dan 25 di kiri), mematahkan wang syiling perak dengan menggunakan jari, badan beliau digelek dengan kereta Bentley milik Sultan dan beliau juga berjaya memutuskan rantai pengikat kaki gajah. Semua ujian tersebut dijalankan pada waktu malam. Sultan Alang Iskandar masih lagi belum berpuas hati. Pada keesokan harinya baginda telah memerintahkan Meor Abdul Rahman mengangkat selaras meriam penabur yang terbesar di istana. Atas kejayaannya itu, baginda Sultan telah menggelarnya "Panglima Sendo Perak" atau "Orang Kuat Perak".


Sejak hari itu beliau dikenali sebagai "Rahman Sendo". Baginda juga berkenan mengambil beliau sebagai anak angkat dan mulai saat itu tinggallah Meor Abdul Rahman di Istana Mercu, Kuala Kangsar. Meor Abdul Rahman hanya kembali semula ke kampungnya(Kampung Pokok Assam) setelah Sultan Alang Iskandar mangkat pada tahun 1938. Beliau telah dinasihatkan oleh ayahanda saudaranya, Ngah Majid yang menjawat jawatan Panglima Perang Kiri, Perak, supaya pulang semula ke Kampung Pokok Assam, untuk mengelakkan diri beliau dianiayai oleh pembesar negeri yang cemburu kepada beliau.(Setengah bahagian daripada wang syiling perak 50 sen ini disimpan oleh Cikgu Siti Kalsom manakala setengah bahagian yang lain disimpan oleh waris Almarhum Sultan Idris Syah. Wang syiling ini kelihatan seperti telah disiat kepada dua bahagian.) 

 


Berhijrah ke Singapura dan Peristiwa di Pulau Sudong


Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, Meor Abdul Rahman tekah mendirikan rumah tangga dengan Kalsom binti Hj. Kechik, seorang anak tempatan Kedah yang juga menjadi adik angkat kekandanya, Hendon. Setelah berumahtangga, Meor Abdul Rahman dan isterinya menetap di rumah kekandanya, Hendon di Kuala Nerang.


Pada penghujung tahun 1938, bersama Zainal Abidin(Bidin) sepupunya, beliau telah berangkat ke Singapura mencuba nasib untuk mencari pekerjaan. Beliau bekerja di Naval Base yang baru sahaja dibuka ketika itu. Oleh kerana beliau lulusan daripada Government Trade School, Meor Abdul Rahman telah diterima bekerja sebagai tukang kimpal manakala Zainal Abidin sebagai mekanik mesin. Setelah enam bulan bekerja di Naval Base, Meor Abdul Rahman telah mendapat pekerjaan di Royal Signal Corps sebagai seorang mekanik. Di Gillman Barrack, Royal Signal Corps, beliau turut menjadi Guru Kombat(Combat Instructor) yang mengajar ahli-ahli Royal Signal Corps tentera British, yang ketika itu di bawah Pegawai Memerintah Lt. Kol. Pope.


Pada pertengahan tahun 1941, Meor Abdul Rahman pulang ke Kota Sarang Semut untuk menghantar isterinya yang sedang sarat mengandung anak mereka yang pertama. Dalam perjalanan pulang ke Singapura, Meor Abdul Rahman singgah di Kg. Pokok Assam untuk melawat kedua-dua orang tuanya. Semasa menziarahi kekanda sepupunya, Nuteh Alang Abdul Rahman, beliau telah terpikat dengan anak perempuan Nuteh, Faridah(Anin). Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Faridah tidak lama selepas itu.


Selepas berkahwin, Meor Abdul Rahman telah membawa isteri keduanya ke Singapura. Mereka menyewa sebuah bilik di Bushi Park. Dua bulan kemudian mereka disertai pula oleh isteri pertama Meor Abdul Rahman bersama anak sulung mereka Fadhilah. Tidak berapa lama kemudian, mereka sekeluarga berpindah ke Raden Mas dan menyewa sebuah rumah di situ. Lebih kurang sebulan di Raden Mas, Perang Dunia Kedua pun meletus di Singapura.


Pada 15 Februari 1942 Singapura telah jatuh ke tangan tentera Jepun. Meor Abdul Rahman telah mendapat arahan daripada Lt.Kol. Pope supaya menyelamatkan diri dari pulau Singapura.


"You better escape from Singapore, say Fort Canning falls to the Japs.." kata Lt. Kol. Pope.


Meor Abdul Rahman meninggalkan pulau Singapura hanya setelah diarahkan berbuat demikian oleh pegawai atasannya. Kerana keberaniannya itulah beliau dianugerahkan pingat King George VI daripada kerajaan British pada tahun 1947.


Dalam suasana huru-hara, Meor Abdul Rahman sekeluarga telah berpindah dari Raden Mas ke Batu 5 1/2 Pasir Panjang. Di situ terdapat sebuah jeti yang digunakan oleh nelayan untuk memunggah hasil tangkapan mereka ke darat. Meor Abdul Rahman berjaya mendapatkan sebuah perahu yang ditinggalkan di jeti tersebut. Walaupun tidak pandai berperahu, Meor Abdul Rahman atas daya usahanya sendiri telah mengemudi perahu tersebut. Beliau sekeluarga terpaksa mengharungi lautan luas di perairan Singapura yang bergelombang besar dan berapi-api kerana terbakar akibat tumpahan minyak. Dalam suasana yang sangat mencemaskan itu, mereka terpaksa pula berhadapan dengan ancaman bom yang digugurkan daripada kapal terbang Jepun.


Selepas sehari berkayuh akhirnya beliau dan keluarga beliau mendarat di sebuah pulau yang kelihatannya agak selamat daripada hujan peluru musuh. Di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah disambut oleh seorang penduduk pulau yang bernama Naning. Naning telah memaklumkan syarat untuk orang luar yang ingin menumpang di pulau tersebut, iaitu bertarung dengan seorang jaguh Pulau Sudong, yang bernama Wak Kusang. Wak Kusang berkulit gelap,bertubuh pendek tetapi tegap. Beliau mempunyai lengan sebesar paha orang dewasa. Penduduk Pulau Sudong mula keluar beramai-ramai untuk menyaksikan pertarungan tersebut. Mereka telah memukul gendang sambil bersorak-sorai seolah-olah menyaksikan suatu pesta pula. Dalam keadaan diri yang sangat keletihan setelah sehari suntuk mengharungi lautan, Meor Abdul Rahman terpaksa pula berlawan dengan pendekar Pulau Sudong bagi memenuhi tuntutan syarat jika ingin menumpang di pulau tersebut. Sebelum pertarungan bermula, beliau terlebih dahulu meminta pandangan ahli keluarga beliau. Nampaknya beliau sudah tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa menghadapi Wak Kusang. Pertarungan antara Wak Kusang dengan Meor Abdul Rahman berlangsung di kawasan tanah perkuburan, kerana penduduk pulau membina rumah bertiang tinggi di tepi pantai, manakala bahagian tengah pulau dikhaskan sebagai tanah perkuburan. Pertarungan tersebut berlangsung dalam suasana yang sangat tegang dan hebat. Dengan berkat ilmu Silat Seni Gayongnya, maka di akhir pertarungan, Wak Kusang telah dihempas oleh Meor Abdul Rahman. Darah mula mengalir daripada kepala Wak Kusang kerana kepala beliau telah terhempas ke batu nesan kubur di situ. Kemenangan Meor Abdul Rahman telah disambut dengan perasaan gembira oleh ahli keluarga beliau. Penduduk pulau pula telah bersorak gembira seolah-olah menyaksikan suatu perlawanan sabung haiwan.


Pada suatu malam, lebih kurang satu minggu beliau berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah bermimpi didatangi satu lembaga yang memberi amaran kepadanya iaitu suatu bahaya akan menimpa penduduk Pulau Sudong. Lembaga tersebut menyuruh Meor Abdul Rahman berusaha menghalang bahaya itu dan ia(lembaga itu) berjanji akan membantu beliau.Pada keesokan harinya iaitu pagi tanggal 17 Februari 1942, penduduk Pulau Sudong telah mendapat khabar bahawa tentera Jepun akan mendarat. Orang-orang yang berada di Pulau sudong menjadi gempar. Berita tentang pendaratan tentera Jepun telah membimbangkan penduduk pulau kerana mereka banyak mendengar berita tentang kekejaman tentera Jepun. Seorang nelayan dari pulau berdekatan datang ke Pulau Sudong memberitahu anak dan isterinya telah dirampas oleh tentera Jepun dan dibawa naik ke atas kapal perang mereka. Terdapat beratus-ratus kapal perang Jepun yang berlabuh di hadapan Pulau Bukum. Berita ini telah menggemparkan penduduk Pulau Sudong. Masing-masing menjadi begitu khuatir dan bimbang, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak gadis. Penghulu dan penduduk pulau telah berkumpul dan mula membincangkan soal keselamatan anak-anak gadis mereka yang berada dalam keadaan bahaya. Berbagai-bagai pandangan dikemukakan. Penghulu Pulau Sudong mencadangkan supaya dipindahkan sahaja semua perempuan-perempuan muda ke Pulau Senang atau ke Pulau Pawai sementara yang lain mencadangkan supaya perempuan-perempuan muda disorokkan ke dalam hutan. Yang lebih berani pula menyuruh supaya menentang sahaja orang-orang Jepun yang ingin merosakkan anak-anak gadis pulau itu, serta bermacam-macam lagi cadangan. Setelah keadaan menjadi semakin buntu, Meor Abdul Rahman pun memberikan pandangan beliau. Orang-orang pulau memang menaruh harapan kepada beliau kerana mereka mengetahui Meor Abdul Rahman pernah menewaskan jaguh Pulau Sudong, iaitu Wak Kusang.


"Saya ada satu ilmu yang guru saya bagi. Ilmu ini belum pernah dicuba, tetapi kita boleh cuba...syaratnya kena masuk Gayong dahulu..."kata Meor Abdul Rahman.


Penduduk Pulau Sudong kemudian diarah untuk mengisikan air ke dalam tempayan. Mereka bertanyakan Meor Abdul Rahman di mana mereka boleh mendapatkan air tawar kerana pada kebiasaannya air tawar diperoleh dari Pulau Senang. Meor Abdul Rahman lalu berdoa memohon supaya diturunkan hujan. Dengan izin Allah, tidak berapa lama kemudian langit pun mendung dan hujan mulai turun. Orang-orang kampung lalu mengisikan tempayan dengan air hujan. Setelah air tempayan itu dibacakan doa dan ayat-ayat Al-Quran, Meor Abdul Rahman pun menjiruskan/memperlimaukan tujuh orang pemuda yang sanggup menentang kemasukan tentera Jepun.Tujuh pemuda tersebut terdiri daripada Naning, Mat Resad, Ahmad Puah, Kekeh, Mustapa, Bendol dan Wak Kusang. Itulah detik permulaan Meor Abdul Rahman memperkenalkan ilmu Silat Seni Gayong serta adat istiadatnya kepada orang ramai yang berlaku pada kira-kira jam 11.00 pagi 17 Februari 1942 di rumah penghulu Pulau Sudong.


Pada waktu itu laut kelihatan dipenuhi api yang menjulang. Pulau Bukum kelihatan telah terbakar. Penduduk Pulau Sudong kemudian diminta mengumpulkan periuk belanga dari tiap-tiap rumah. Buntut periuk tersebut kemudian dikikis untuk diambil arangnya. Ada periuk yang pecah akibat terlalu kuat dikikis. Selepas itu arang tersebut dicampurkan dengan minyak kelapa dan dibancuh seperti membancuh simen. Meor Abdul Rahman kemudiannya mengumpulkan semua perempuan yang berada di Pulau Sudong. Campuran arang dan minyak kelapa itu pun disuruh sapu ke muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kaum perempuan. Tepung gandum pula diletak dicelah-celah rambut supaya rambut kelihatan seperti telah beruban. Perempuan-perempuan muda kemudian disuruh masuk ke dalam rumah Meor Abdul Rahman(kira-kira seramai 200 orang). Meor Abdul Rahman kemudian meminta beras kunyit. Setelah dibacakan doa tertentu, beras kunyit tersebut diserahkan kepada Naning. Naning kemudian mengetuai enam lagi rakannya pun mula bergerak mengikut gerak hati yang dipimpin oleh semangat beras kunyit tersebut. Apabila sampai di tepi pantai, Meor Abdul Rahman menyuruh Naning menabur beras kunyit ke laut dan mengarahkan Naning dan rakan-rakannya meraba-raba(menggagau) di dalam air. Sebanyak tujuh bilah keris tanpa hulu dan tanpa sarung diperoleh dari dalam air laut di gigi pantai tersebut. Meor Abdul Rahman mengarahkan Naning dan rakan-rakannya membalut bahagian hulu keris dengan kain layar buruk serta sedikit kain kuning. Keris-keris tersebut lalu disorokkan dicelah dinding atap rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman lalu bertanya kepada ketujuh-tujuh pemuda tadi apakah yang akan mereka lakukan sekiranya anak isteri mereka dirampas oleh tentera Jepun.


Mereka menjawab, "Kita bunuh. Jika Cikgu suruh bunuh, kami bunuh..."


Seorang daripada penghulu-penghulu pulau telah menyuarakan rasa kebimbangannya, takut-takut nanti jika dibunuh tentera Jepun tersebut, Pulau Sudong akan menjadi padang jarak, padang terkukur akibat serangan balas daripada tentera Jepun yang lain.


Ketujuh-tujuh mereka lalu menjawab,"Kami lebih rela mati syahid daripada hidup dayus..."


Keadaan ini telah membuktikan bahawa ketujuh-tujuh lelaki tersebut telah naik semangat keberanian. Dari tujuh orang murid lelaki pertama Gayong ini, hanya empat orang murid sahaja yang berani menawarkan diri menjadi pengawal di rumah Meor Abdul Rahman. Perempuan-perempuan tua pula disuruh mengusutmasaikan rambut dan ditempatkan di bawah pokok kelapa yang terdapat di pesisiran pantai Pulau Sudong.


Tidak berapa lama kemudian, tentera Jepun pun tibalah dengan kapal pendarat tenteranya. Seperti kebiasaan, mereka melepaskan beberapa das tembakan pistol ke udara untuk memanggil orang-orang kampung agar mengangkat mereka ke darat. Sebaik sahaja mereka mendarat, mereka melihat hanya perempuan-perempuan tua sahaja yang kelihatan. Mulut mereka becok merungut-rungut kerana belum berjumpa wanita muda di pulau tersebut. Tentera Jepun tersebut terus mencari di sekitar pulau. Tidak lama kemudian,tentera Jepun itu sampailah ke rumah Meor Abdul Rahman. Tindakan pemuda-pemuda kampung yang asyik memandang ke arah rumah Meor Abdul Rahman telah mencurigakan pihak tentera Jepun. Mereka pun terus naik ke atas rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman yang berdiri di muka pintu pun terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran sambil terus berdoa.


"Yaasiin. Walqur'an nil hakim...Ya Allah Ya Tuhanku..."


Sebaik sahaja daun pintu ditolak, tentera Jepun menjadi begitu terkejut dan ketakutan melihat betapa hodohnya perempuan-perempuan yang berada di dalam rumah Meor Abdul Rahman.Sentuh pun mereka tidak mahu.Askar-askar Jepun tersebut menjadi gempar ketakutan sambil menjerit-jerit dalam bahasa Jepun,


"Korahh...korahh...korahh..."


Tentera Jepun pun berlalu dari rumah Meor Abdul Rahman. Sebaik sahaja tentera Jepun berundur dari rumah Meor Abdul Rahman, mereka telah melihat penduduk kampung yang asyik memerhatikan ke arah sebuah tongkang Cina. Mereka nampak seorang lelaki Cina tua sedang menimba air laut dari geladak tongkangnya. Tentera Jepun pun terus pergi mendapatkan tongkang tersebut. Setelah memeriksanya, mereka lalu mengesyaki sesuatu. Tentera Jepun lalu menolak papan besar yang menutup lantai tongkang tersebut. Sebaik sahaja papan penutup tersebut ditolak, kelihatanlah ramai anak-anak gadis Cina di dalamnya. Lelaki Cina tua tersebut telah ditolak ke dalam air laut dan ditembak sehingga mati. Anak-anak gadis Cina tersebut pula telah diangkut ke dalam kapal perang mereka. Di atas kapal tersebut, anak-anak gadis Cina tersebut telah diperkosa beramai-ramai. Jerit pekik mereka dikatakan kedengaran sehingga ke Pulau Sudong.


Selepas tentera Jepun hilang daripada pandangan, maka terselamatlah perempuan-perempuan di Pulau Sudong. Selepas peristiwa tersebut, Meor Abdul Rahman lalu mengarahkan ketujuh-tujuh bilah keris tanpa hulu tersebut dicampak kembali ke laut. Pada awalnya mereka agak keberatan untuk membuangnya, kerana mereka berhasrat untuk menyimpannya kerana percaya keris-keris tersebut membawa tuah.Apabila ditanya oleh Meor Abdul Rahman sama ada mereka telah mengembalikan semula keris tersebut ke laut, mereka berbohong dan mengatakan telah membuangnya.


"Kalau dah buang, macam mana bunyinya?" tanya Meor Abdul Rahman.


"Bunyinya pelecup, pelecup, pelecup..." jawab mereka beramai-ramai.


"Pelecup kepala hotak kamu! Sudah, pergi buang segera!" bentak Meor Abdul Rahman.


Setelah didesak oleh Meor Abdul Rahman, mereka pun mencampakkan keris-keris tersebut ke dalam laut, di tempat di mana keris tersebut ditemui. Menurut Meor Abdul Rahman, jika keris tersebut tidak dikembalikan semula ke laut, dikhuatiri suatu perkara buruk akan berlaku, seperti kedatangan ribut dan sebagainya. Dengan takdir Allah, maka pada hari ketiga daripada berlakunya peristiwa itu, timbullah seekor buaya putih di tempat di mana keris-keris tersebut dicampakkan


Dua minggu kemudiannya, Meor Abdul Rahman dan keluarganya pun meninggalkan Pulau sudong untuk pulang ke kampungnya di Taiping, Perak. Penduduk-penduduk pulau itu dengan sedih telah keluar beramai-ramai mengucapkan selamat jalan kepada beliau sekeluarga. Ketika perahu yang dinaiki oleh beliau perlahan-lahan meluncur, penduduk Pulau Sudong pun berpantun, yang berbunyi:


Pulau Sudong tanahnya lembah,

Tanam senduduk bercabang dua;

Pulau Sudong tanahnya bertuah,

Dagang menumpang sehari dua.


Lalu dijawab oleh beliau:


Pulau Sudong tanah sakti,

Sayang ketapang bercabang dua;

Hikmat Gayong meninggalkan bakti,

Memimpin wanita menempuh bahaya.


Meor Abdul Rahman bersama kedua-dua isterinya, anak sulungnya dan ahli keluarganya yang lain berangkat pulang ke Taiping dengan menumpang sebuah kereta api barang. Turut berada di dalam gerabak kereta api tersebut ialah askar-askar Jepun yang ingin bergerak ke Utara.


Pada tahun 1943, Meor Abdul Rahman telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pemerintah tentera Jepun kerana beliau telah membunuh seorang askar Jepun yang cuba mengganggu (cuba memperkosa) isteri pertama Meor Abdul Rahman. Sewaktu dibawa keluar dari penjara untuk menjalani hukuman mati iaitu hukuman gantung, Meor Abdul Rahman dengan penuh berani dan nekad telah melawan dan berjaya menumpaskan pengawal-pengawal Jepun yang bersenjata api dan pedang samurai. Dengan berkat ilmu Silat Seni Gayong, perut askar Jepun yang mengawalnya dirodok dengan hujung jejari tangan hingga terburai isi perut. Walaupun tidak berjaya melepaskan diri secara total, tindakannya ini dengan kuasa Allah telah menyebabkan beliau dibebaskan secara bersyarat (atas nasihat jurubahasa Jepun yang berbangsa Melayu). Tidak lama kemudian, Meor Abdul Rahman telah dipaksa menjadi seorang polis Jepun(Kempeitai). Seperti askar Jepun yang lain, kepala beliau telah dibotakkan dan diberikan seragam polis Jepun. Semasa bertugas sebagai polis Jepun, beliau pernah ditugaskan ditugaskan di Ipoh, Perak dan Meor Abdul Rahman pernah beberapa kali menewaskan beberapa orang ketua PKM yang terkenal handal dan kebal.


Apabila tamat pemerintahan Jepun iaitu sekitar tahun 1945, Meor Abdul Rahman kembali semula ke Singapura. Tidak berapa lama di Singapura, beliau telah dipelawa untuk menjadi Penghulu Besar di Pulau Sudong. Sejak beliau menjadi Penghulu Besar di Pulau Sudong, maka pulau itu pun menjadi pusat Silat Seni Gayong. Dari Pulau Sudong inilah Silat Seni Gayong berkembang, sehingga merebak ke pulau-pulau lain seperti Pulau Seking, Pulau Bukum dan sebagainya.


Apabila berita tentang kehebatan Silat Seni Gayong sampai ke pengetahuan orang-orang di kepulauan Indonesia, mereka telah menghantar seorang wakil mereka yang bernama Wak Simong, untuk menjemput Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni Gayong di sana. Kebetulan pula pada waktu itu penduduk di sana sedang diancam oleh lanun. Meor Abdul Rahman pergi ke Pulau Terong dengan empat orang muridnya iaitu Naning, Mersad, Bendol(penghulu Pulau Sudong selepas Meor Abdul Rahman) dan seorang lagi yang tidak dapat dipastikan namanya. Maka Silat Seni Gayong pun berkembanglah dengan pesat di Pulau Terong, Pulau Geranting, dan seterusnya beberapa pulau yang lain, termasuklah di kepulauan Riau. 

 


Mengembangkan Silat Seni Gayong

Dalam tahun 1947, kerajaan British telah menawarkan Meor Abdul Rahman jawatan sebagai pegawai dalam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Ketua Polis Singapura telah mendapat tahu rahsia kehebatan Mahaguru Meor Abdul Rahman sewaktu beliau berkhidmat sebagai Guru Kombat di Gillman Barrack. Setelah empat bulan, beliau memohon dipindahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah(CID). Permohonan beliau diluluskan dan beliau telah ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan dan ditugaskan menyiasat sebarang penipuan dalam timbangan. Tidak lama kemudian beliau ditugaskan pula di bahagian kepolisan yakni di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai berpangkat Sarjan.


Pada tahun 1947 juga, atas jasa-jasa beliau menentang keganasan tentera Jepun, beliau telah dikurniakan pingat keberanian King George VI oleh kerajaan Inggeris. Di sekitar tahun ini juga beliau giat mengembangkan ilmu Silat Seni Gayong di tanah besar Singapura. Menjelang tahun 1948, jumlah anak murid Gayong sudah mencapai 100,000 orang, dengan 50,000 daripadanya adalah dari kepulauan Indonesia.


Dalam tahun 1959, Meor Abdul Rahman bertemu dengan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar di Alexandra,Singapura. Sebelum daripada itu, Meor Abdul Rahman telah mendapat isyarat daripada bapanya, Daing Uda Mohd.Hashim menyuruh Meor Abdul Rahman mencari seorang murid yang tua, yang keningnya telah putih. Menurut Daing Uda Mohd.Hashim yang sedang "keturun tok nenek"(diresapi semangat ghaib pahlawan dahulu kala/didatangi rohaniah nenek moyang) ketika itu, orang itulah yang boleh merebakkan Gayong. Orang tersebut tinggal di seberang Tambak Johor. Sejak dari itu, Meor Abdul Rahman mula mencari orang yang dimaksudkan. Pada masa yang sama Dato' Onn juga mendapat firasat untuk mencari Meor Abdul Rahman. Dalam pertemuan tersebut, Dato' Onn telah berkata,


"Jika betul awak keturunan Raja Bugis, cuba tukarkan bunga melur ini kepada benda lain..."


Meor Abdul Rahman pun membaca sepotong doa lalu dihembuskan kepada bunga melur tersebut. Dengan takdir Allah, bunga tersebut telah bertukar menjadi batu akik. Dato’ Onn pun melamar untuk menjadi murid Gayong dan lamarannya telah diterima oleh Meor Abdul Rahman. Atas nasihat dan usaha Dato’ Onn, Silat Seni Gayong pun didaftarkan di Johor Bahru dan dikenali sebagai Pertubuhan Silat Seni Gayong (No. Pendaftaran 361/tahun 1962, Johor Bahru). Dato’ Onn dilantik sebagai Penasihat dan beliau sendiri menjadi Pengerusi. 


Dalam tahun 1961, Meor Abdul Rahman bersara dari jawatan sebagai mata-mata gelap dan terus menceburkan dirinya dalam perniagaan. Segala aktiviti Gayong beliau jalankan di tempat kediamannya di Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Pada sekitar tahun 1960, Mahaguru Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Pendita Za'ba di Singapura. Pendita Za'ba adalah berketurunan Bugis. Beliau telah diminta oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman untuk melukis lambang Gayong iaitu yang terdiri daripada gambar seekor naga, sempena peristiwa kelahiran beliau yang berkembarkan seekor ular yang telah bertukar menjadi naga. Dengan bantuan Cikgu Nor Aidil, sijil Gayong yang berasaskan lambang naga satu ini kemudian direka bentuk.

 


Seni Gayong di Selangor


Pada awal tahun 1960-an(sekitar tahun 1963), Tony Razman(bintang filem) bersama-sama Harun telah pergi ke Singapura untuk menemui Mahaguru Meor Abdul Rahman. Mereka telah memohon kepada Meor Abdul Rahman agar memperturunkan pelajaran Gayong kepada sekumpulan murid di Selangor. Mahaguru Meor Abdul Rahman telah memperkenankan permintaan mereka. Dengan menaiki sebuah kereta, Mahaguru Meor Abdul Rahman pun bergerak naik ke Selangor dari Singapura. Ketika Mahaguru Meor Abdul Rahman sedang mengajar silat di Chow Kit, datang beberapa orang samseng yang diketuai oleh Mat Lodeh bersama-sama dengan Hasyim Teksi dan beberapa orang rakannya yang lain. Mat Lodeh lalu memperkenalkan diri mereka,


"Cikgu, kami semua ni guru silat. Saya Mat Lodeh. Ni Hashim Teksi..."


Lalu dijawab oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman,


"Kalau nak cerita pasal silat, baik engkau lima orang balik..."


Apabila menyedari gertakan mereka tidak berhasil, maka samseng-samseng tersebut pun berlalu dari situ. Tidak berapa lama kemudian, tiba sebuah lori yang dipenuhi dengan samseng-samseng lain. Begitu pun, Mahaguru Meor Abdul Rahman tidak berganjak dari tempatnya. Dengan bersenjatakan kapak, Mahaguru Meor Abdul Rahman telah memberi amaran kepada samseng-samseng tersebut,


"Balik!!!Sebelum aku mengamuk..."


Menyedari amukan Mahaguru Meor Abdul Rahman boleh mengakibatkan banyak kemalangan jiwa, maka samseng-samseng tersebut sekali lagi terpaksa berlalu pergi. Beberapa hari kemudian, datang pula beberapa orang ketua samseng menemui Mahaguru Meor Abdul Rahman. Samseng-samseng tersebut dengan lagaknya memberitahu Mahaguru Meor Abdul Rahman bahawa mereka boleh menumbangkan gajah dengan tumbukan mereka. Lalu dijawab oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman,


"Hah! Marilah tumbuk Meor Rahman pula..."


Apabila terasa diri mereka diperkecilkan, samseng-samseng tersebut tanpa berfikir panjang terus menyerang Mahaguru Meor Abdul Rahman. Serangan-serangan daripada samseng-samseng tersebut mudah sahaja dipatahkan oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman. Akhirnya, samseng-samseng tersebut mengaku kalah dan meminta maaf kepada beliau. Samseng-samseng tersebut telah meminta untuk menjadi murid Mahaguru Meor Abdul Rahman pula.


Menyahut Cabaran Bruce Lee


Pada tahun 1973, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato' Syed Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya. Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong. Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan seni beladiri Jeet Kune Do. Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong.

Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu. Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, TETAPI jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia. Kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee. Sebelum daripada itu, pada tahun 1972, serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee. Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato' Meor Abdul Rahman di Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato' Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut. Kemudian, Dato' Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.


Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato' Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato' Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato' Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut. Sebaik sahaja melihat Dato' Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan(Kipas Nandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee. Pukulan tangan Dato' Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato' Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut. Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya. Tidak lama selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato' Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu. Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.)


VERSI KEDUA


Di Lapangan Terbang Kai Tak Hong Kong, ketika Dato' Meor Abdul Rahman sedang menunggu penerbangan yang berikutnya, beliau dan Syed Ahmad telah memasuki sebuah restoran yang terletak di dalam kawasan lapangan terbang. Ketika sedang menunggu pesanan tiba, Dato' Meor Abdul Rahman telah terlihat kelibat aktor Bruce Lee sedang dikerumuni oleh peminat-peminatnya di pintu masuk restoran tersebut. Bruce Lee ketika itu ditemani oleh beberapa orang pengawal peribadinya. Dato' Meor Abdul Rahman telah menyuruh Syed Ahmad supaya memanggil Bruce Lee supaya bertemu dengannya. Sebaik sahaja Bruce Lee mengetahui bahawa seorang Raja Silat Melayu ingin menemuinya, maka Bruce Lee pun terus bergegas menuju ke meja di mana Dato' Meor Abdul Rahman berada. Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee yang sememangnya sangat-sangat berhajat ingin bersemuka dengan pakar silat seperti Dato' Meor Abdul Rahman, telah meminta Dato' Meor Abdul Rahman menunjukkan kebolehannya dalam ilmu kebatinan Silat Melayu. Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman pun bersetuju dengan permintaan Bruce Lee tersebut. Sambil duduk berhadap-hadapan, Dato' Meor Abdul Rahman lalu melepaskan suatu pukulan tangan yang dikenali sebagai "Kipas Senandung Dalam Senandung". Pukulan Dato' Meor Abdul Rahman ini telah mengenai tepat ke rusuk Bruce Lee, sehingga menyebabkan Bruce Lee terpelanting jauh ke belakang, bersama-sama dengan kerusi yang didudukinya. Ekoran daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, kawasan di sekitar rusuk Bruce Lee lama-kelamaan telah menjadi bengkak(sehingga membawa maut kemudiannya).


Sebenarnya, sepanjang Dato' Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni Gayong, beliau telah banyak kali dicuba oleh pakar-pakar seni bela diri, sama ada dari luar negeri mahu pun pakar seni bela diri tempatan. Pada pertengahan tahun 1950-an, Dato' Meor Abdul Rahman pernah menumpaskan seorang ahli gusti berbangsa Eropah yang mempunyai saiz badan dua kali ganda berbanding beliau di Singapura. Ahli gusti yang mempunyai berat badan 380 lb itu dikenali dengan nama King Kong dan merupakan seorang juara gusti dunia yang tidak pernah kalah pada zamannya. King Kong juga merupakan seorang ahli gusti yang gemar melanggar peraturan gusti.


Dato' Meor Abdul Rahman juga pernah dicuba oleh pakar seni beladiri Jepun yang berbangsa Eropah seperti Donn F. Draeger(1970-an), Ricky "the Dragon" Steamboat(ahli gusti) dan Jan de Jong(1980-an). Dato' Meor Abdul Rahman, walaupun telah berusia ketika itu, hanya menggunakan sedikit sahaja daripada kudratnya untuk menumpaskan jaguh-jaguh seni bela diri asing tersebut. Jan de Jong akhirnya akur dengan kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan akhirnya meminta untuk berguru dengan beliau. Disebabkan Silat Seni Gayong tidak boleh diturunkan kepada mereka yang bukan beragama Islam, maka Jan de Jong hanya diajar aspek fizikal Silat Seni Gayong, iaitu lebih berupa beberapa petua tentang penangkap di dalam Silat Seni Gayong, serta beberapa teknik serangan dan belaan menggunakan senjata simbat(kayu pendek). Lagipun, Jan de Jong adalah seorang pakar Jujitsu, iaitu beliau sangat gemarkan teknik kuncian dan jatuhan. Ketika berada di Soho, England pada tahun 1973, Dato' Meor Abdul Rahman pernah ditarik oleh samseng Cina. Ketika itu bersama-sama beliau ialah Syed Ahmad Jamalullail. Dato' Meor Abdul Rahman telah bertarung dengan samseng-samseng Cina tersebut dan berjaya menumpaskan samseng-samseng Cina tersebut. Ketika melawat Osaka, Jepun pada tahun 1970, Dato' Meor Abdul Rahman pernah mencuba ilmunya pada samurai Jepun. Samurai Jepun tersebut telah diberikan penimbul oleh Dato' Meor Abdul Rahman sehinggakan Samurai tersebut kehairanan melihatkan kulitnya yang tidak melecur apabila dicurahkan air panas yang baru mendidih


https://iluminasi.com/bm/kisah-pengasas-silat-gayong-malaysia-dato-meor-abdul-rahman.html

Sunday, September 6, 2020